Tuesday, January 25, 2011

:: Puisi Untukmu dan Untukku ::


Apakah hatimu seperti batu?
Tidak sayu saudaramu dipalu,
Tidak pilu hilang peganganmu,
Tidak malu persendakan agamamu,
Biarkan nafsu menjaga dirimu.
Apakah kamu sudah lupa?
Pergerakanmu diperhatikan oleh Maha Esa,
'Illiyin dan Sijjin saksi rahsia di dada,
Terbongkar semua di hari Bencana,
Saat matahari seakan sejengkal dari kepala.
Rasulullah kekasihNya jadikan teladan,
Akhlaknya seperti al-Quran berjalan,
Kehadirannya membawa angin ketenangan,
Sentiasa berjalan memberi pesanan,
Ikutlah arahanNya laranganNya tingalkan.
Melihat mendengar nikmatNya padamu,
Langit dan bumi disediakan untukmu,
Gunakan akal dan mata hatimu,
Syukurlah dan sujud pada Tuhanmu,
Tunaikan perintahnya sehingga diseru.
Syurga dan neraka sudah dikhabarkan,
Sebagai hadiah juga amaran,
Setiap kamu bergelar insan,
Tiada terlepas dari perhitungan,
Kembalilah kepada sunnah Rasul dan al-Quran.
Marilah wahai saudara-saudaraku,
Bangunlah dari tempat beradu,
Bertaubatlah dari kesalahan lalu,
Janganlah lupa janganlah ragu,
Aku dan kamu milik Yang Satu.
Peringatan buat diri sendiri, terkadang hanyut dek kerana kelemahan diri ini. Namun kasih sayang dariNYA tidak pernah putus. Cahayanya sentiasa memancar ke lubuk hati. Alhamdulillah masih dikurniakan nikmat-nikmat yang nescaya tidak terhitung banyaknya. =)

No comments:

Post a Comment